Pembangkang Dalang Agenda Besar Agar Rakyat Benci Kepimpinan Negara – TPM Ahmad Zahid

0
101

KANGAR, 18 Sept – DALANG….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemimpin-pemimpin parti pembangkang sebagai dalang yang merancang agenda besar untuk mempengaruhi rakyat membenci kepimpinan negara.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya sedar dan menghentikan perbuatan pembangkang yang menjurus kepada menimbulkan rasa kebencian terhadap kerajaan kerana sentimen peribadi mereka.

“Skrip lakonan mereka telah sampai penghujung. Kita tahu agenda mereka…(tetapi) apabila (kita) terjebak, mudahlah mereka mempengaruhi kita,” katanya sewaktu berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Arau di Dewan 2020 semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan Ketua UMNO Bahagian Arau Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti berkata UMNO telah diuji dengan hebat sebanyak dua kali pada pilihan raya ke-12 dan ke-13.

“Bangkitlah dan bersatu mempertahankan perjuangan parti untuk menegakkan agama, bangsa dan negara,” katanya sambil mengingatkan anggota UMNO dan orang Melayu tentang dasar pecah dan perintah semasa pemerintahan penjajah yang membawa kesengsaraan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita-berita palsu. – WD MY