MELAKA, 26 Feb – Sekiranya DAP masih gagal mencapai kata sepakat
melantik seorang ketua pembangkang, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Melaka bermula Isnin depan mungkin mencatat sejarahnya tersendiri apabila
bersidang tanpa seorang ketua di pihak pembangkang untuk lebih setahun.

Perkara itu dilihat semakin menjadi kenyataan menjelang persidangan empat
hari DUN apabila sehingga hari ini parti berkenaan masih gagal melantik ketua
pembangkang baharu selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh
Leong San meletak jawatan pada 8 Okt 2013.

Media sebelum ini melaporkan, Goh meletak jawatan sebagai ketua pembangkang
disebabkan pertelagahan beliau dengan pimpinan DAP pusat dan ADUN Melaka
daripada DAP yang menyokong pimpinan DAP pusat antaranya Khoo Poay Tiong iaitu
ADUN Ayer Keroh.

Goh ketika dihubungi memberitahu masih tiada apa-apa perbincangan
terbaharu tentang pelantikan ketua pembangkang dalam kalangan ADUN daripada DAP
setelah beliau meletak jawatan.

“Masih tiada perbincangan mengenai perkara itu (pelantikan ketua
pembangkang), jika ada perkembangan terbaharu akan beritahu nanti,” katanya
tanpa mengulas lanjut.

Melaka mempunyai 28 ADUN, yang mana tujuh merupakan pembangkang iaitu Goh,
Khoo, Lai Keun Ban (DAP-Kota Laksamana), Lim Jak Wong (DAP-Bachang), Tey Kok
Kiew (DAP-Banda Hilir), Chin Choong Seong (DAP-Kesidang) dan Dr Md Khalid Kassim
(PAS-Bukit Baru).

Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad mengesahkan beliau tidak menerima
apa-apa surat berkenaan pelantikan ketua pembangkang yang baharu daripada DAP
sehingga hari ini, walaupun telah mengutus surat kepada DAP selepas Goh meletak
jawatan lebih setahun lepas.

“Menurut peraturan, persidangan DUN Melaka masih boleh berjalan tanpa adanya
seorang ketua pembangkang tetapi dikhuatiri akan timbul masalah dari segi
penyelarasan,” katanya.

Bagaimanapun perlu diingat amalan biasa bagi sesebuah sistem demokrasi
ialah adanya ketua untuk kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang
bagi perjalanan pentadbiran yang lebih berkesan.

Ditanya sampai bila DUN Melaka boleh bersidang tanpa ketua pembangkang,
Othman berkata speaker DUN Melaka tidak mempunyai kuasa untuk melantik ketua
pembangkang tetapi menyarankan agar pihak pembangkang melantik seorang ketua
dengan secepat mungkin.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pula mengakui terdapat
kecelaruan dalam kalangan pembangkang ketika berlangsungnya tiga persidangan DUN
Melaka tahun lepas kerana tiadanya seorang ketua.

Bagaimanapun, beliau berkata ADUN daripada Barisan Nasional (BN) tidak
berniat untuk mengambil kesempatan terhadap kecelaruan pembangkang itu kerana
kepentingan pembangkang dalam persidangan DUN mengikut sistem demokrasi yang
diamalkan negara ini.

“Peluang untuk berbahas dan berucap dalam dewan diberi sama rata antara
(ADUN) BN dan pembangkang kerana kita perlukan semua input daripada semua pihak
bagi pastikan perkara yang dibincangkan itu memberi kebaikan kepada rakyat,”
katanya.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY