KOTA BHARU, MEI 3: Apabila kempen Pilihan Raya Umum ke-14 diberitahu, pembangkang dilihat semakin terdesak dengan menyebarkan fitnah kepada oarang ramai untuk menjatuhkan kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata tindakan tidak berintegriti itu terpaksa dilakukan mereka untuk menarik sokongan pengundi di kawasan yang disasarkan.

 Katanya, beliau juga tidak terkecuali apabila risalah fitnah mengenai dirinya mula tersebar di sekitar Parlimen Ketereh sejak semalam.

“Petang semalam, ada satu risalah yang gunakan gambar saya yang memuatkan kenyataan pelaburan mewah MARA di Australia dan biasiswa MARA dibatalkan.

“Ini sudah tentu berbau fitnah, kerana pelaburan aset MARA di luar negara berlaku sebelum saya menjadi Pengerusi MARA, kenapa nak kaitkan saya dengan benda ini dan satu lagi tidak pernah MARA batalkan biasiswa.

“Bagi orang cerdik pandai, mereka tidak akan percaya pembangkang yang cuba nak kritik kerajaan serta begitu ghairah menabur politik kebencian. Bagaimanapun saya percaya ia akan ditolak rakyat,”-MY WD