KEDAH, MAC 10 – PEMBANGKANG…Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menempelak Pakatan Harapan yang dahulunya mengutuk habis-habisan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini tetapi telah menyenaraikan bantuan itu akan diberikan dalam dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) pakatan pembangkang itu.

“Cakap tak serupa bikin”, katanya sambil menegaskan akhirnya pembangkang sedar bahawa bantuan itu yang disifatkan oleh mereka sebagai ‘dedak’, sebenarnya satu keperluan untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Itulah, benda baik yang kerajaan buat, mereka cakap macam-macam dan sekarang tengok mereka sendiri telah iktiraf BR1M ini. Tambahan pula penerimaan rakyat terhadap BR1M selama ini sangat baik jadi mereka (pembangkang) pun mahu lakukan benda yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pintu baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Long Chuan di sini,semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas manifesto Pakatan Harapan untuk PRU ke-14 (PRU14) akan datang yang antara lain akan mengekalkan pemberian BR1M kepada golongan B40 sekiranya parti itu memenangi PRU14.

Ahmad Bashah memberitahu tujuan BR1M yang diperkenalkan sejak tahun 2012 itu adalah untuk membantu mereka yang memerlukan dan bukannya adalah untuk kepentingan politik.-MY WD