KUALA KLAWANG, 9 Julai – Memenangi….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pembangkang dikesan memindahkan pengundi ke Johor dalam usaha memenangi beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tertentu.

Beliau berkata, sebagai Menteri Dalam Negeri yang Jabatan Pendaftaran berada di bawah kementerian itu, beliau dapat melihat pergerakan itu yang sedang berlaku.

“Pembangkang memberi tumpuan kepada Johor, mereka mahu rampas Johor dan sudah kenal pasti beberapa kerusi Parlimen dan DUN.

“Sebelum ini, mereka pernah melakukannya di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), namun UMNO dan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan negeri ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yakin Johor akan terus menjadi deposit tetap UMNO dan BN dalam PRU akan datang.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri. – WD MY