KUALA LUMPUR, 9 Dis – Sedia Platform…. Pembangunan perusahaan kecil dan sederhana
(PKS) di Malaysia dirancang dengan rapi dan tersusun hasil daripada komitmen
kerajaan yang tinggi dalam menyediakan ekosistem yang kondusif untuk
menggalakkan pertumbuhan dan kemapanan sektor itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rangka
kerja institusi yang baik, pelan dasar yang jelas, pelaksanaan yang cekap serta
program yang komprehensif dan bersepadu bagi PKS bertujuan untuk membangunkannya
sebagai peserta global yang dinamik.

“Pembangunan PKS menjadi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11
berikutan Malaysia melangkah ke arah negara berpendapatan tinggi. Usaha
diperhebatkan untuk memacu pelaksanaan enam program berimpak tinggi (HIP) dan
26 inisiatif lain di bawah pelan induk PKS untuk mencapai matlamat dan sasaran
yang ditetapkan,” katanya.

 

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah
Enterprise 50 (E50) 2016 di sini malam ini.
Ahmad Zahid berkata walaupun menghadapi cabaran daripada pertumbuhan ekonomi
global yang perlahan dan pembaharuan ekonomi dalam ekonomi domestik, kerajaan
yakin PKS akan terus berdaya tahan dan dapat menghadapi cabaran.
Beliau berkata langkah proaktif yang berterusan daripada kerajaan untuk
mengurangkan kesan daripada kelembapan ekonomi, selain permintaan domestik yang
kukuh dan pasaran pekerjaan yang stabil dijangka membantu mengurangkan tekanan
ke atas pertumbuhan PKS.
“Bagi 2016, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) PKS diunjurkan
berkembang antara 5 peratus dan 5.5 peratus,” katanya.
Pada 2015, PKS menyumbang 36.3 peratus kepada KDNK daripada 29.4 peratus
pada 2005, manakala penguasaan PKS kepada pekerjaan meningkat kepada 65.5
peratus berbanding 56.8 peratus pada 2005.
Katanya eksport PKS semakin meningkat untuk tempoh beberapa tahun ini kepada
17.6 peratus.
Ahmad Zahid berkata dengan semua insentif utama ini disusun bagi 2017,
termasuk sebanyak RM6.7 bilion diperuntukkan bagi pembangunan PKS dalam Bajet
2017, ekosistem keusahawanan dijangka menjadi lebih pesat dan PKS akan dapat
meneruskan perniagaan dengan tahap keyakinan yang dipertingkatkan.
Menurutnya, usaha liberalisasi pasaran berterusan susulan globalisasi, juga
membawa kepada pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang meliputi kawasan
berpenduduk 630 juta orang dan pada akhirnya menyediakan pertumbuhan pasaran
yang berpotensi untuk PKS Malaysia.
“Ini hanya menjadikan keadaan lebih kritikal untuk PKS bersaing di peringkat
global. Malah, bagi membantu PKS kita berkembang sehingga melangkaui sempadan,
kerajaan melaksanakan (pelbagai) langkah penting dan pendekatan progresif untuk
memperhebatkan pengantarabangsaan PKS kita menerusi peningkatan daya saing dan
eskport global mereka,” katanya. – WD MY