KUALA LUMPUR, 26 Okt – TERSASAR… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pembangunan tamadun dunia Melayu tidak seharusnya tersasar daripada prinsip Islam dan beragama.

Ahmad Zahid menjelaskan aspek dan nilai Islam perlu diterapkan dalam setiap elemen kajian dunia Melayu, sebagai menunjukkan keutamaan prinsip beragama itu melangkaui segala-galanya.

“Beragama adalah perkara asas dalam pembentukan (peradaban) manusiawi, malah kepentingan beragama bagi manusia zahir sejak zaman-berzaman lagi termasuk ketika era Mesir purba dan Yunani.

“Jika kita teliti dalam konteks tamadun Islam, berjaya membawa ketamadunan yang baik menerusi prinsip, adil, kebajikan dan keamanan dalam setiap kehidupan kita.

Kehebatan inilah yang perlu dikaji oleh kita,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap ketika merasmikan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC) di Kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dunia Melayu perlu ditempatkan sebagai antara elemen penting dalam perkembangan dunia Islam, kerana ummah dalam dunia Melayu itu, satu aset cukup berharga dalam menentukan ketamadunan Islam.

“Nilai hidup dan prinsip asas yang berkaitan (dunia Melayu) seharusnya menjadi bahan utama dalam kajian terhadap isu ketamadunan Islam dan dunia Melayu,” katanya.

Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta kepada ISTAC, bagi membolehkan institut itu mengembangkan kajiannya.

Ia juga bagi membolehkan ISTAC mengambil lebih ramai pelajar dan sarjana ulung, sekali gus mengembangkan peranan institusi ini sebagai pusat maklumat dan rujukan dunia Melayu di peringkat antarabangsa.

“Kita mahu Malaysia menjadi pusat pengajian dunia Melayu yang ulung, selaras dengan aspirasi menjadikan negara ini maju dan berpendapatn tinggi.

“Melalui ISTAC ini, kita dapat kaji bidang bahasa kesusasteraan, sejarah, perbankan dan kewangan Islam serta kerjasama ekonomi antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, menerusi ISTAC juga diharap dapat mengubah persepsi agama tidak menjadi penghalang kepada kemajuan dan pembangunan.

“Ini sekali gus membuka saluran dan ruang kerjasama yang lebih utuh antara sarjana dalam dunia Melayu secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perubahan besar dalam budaya masyarakat Melayu ketika ini banyak dipengaruhi hasil budaya barat yang begitu menekankan individualime berbanding inklusiviti yang diterap budaya timur.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM10 juta kepada ISTAC yang dijenama semula menggantikan Insitut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam yang pengisiannya lebih berkisar mengenai negara Timur Tengah sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kajian menyeluruh mengenai hubungan dunia Melayu dan tamadun Islam yang mempunyai banyak persamaan akan dapat memberi manfaat kepada pembangunan tamadun Melayu lebih cemerlang di masa hadapan seperti tamadun Islam sebelum ini.

Beliau menarik perhatian bahawa agama merupakan perkara asas dalam pembentukan sesebuah tamadun, malah, dalam konteks tamadun Islam sejak zaman Mesir Purba sebagai contoh, agama Islam telah berjaya membawa peradaban terbaik apabila ajaran itu menekankan aspek kecemerlangan, kebajikan dan keamanan.

“Kehebatan ini yang harus didalami dan dikaji oleh kita,” katanya

Beliau turut berharap agar masyarakat Melayu dapat berpegang teguh pada ajaran Islam yang sebenar dan tidak tersasar jauh daripada landasannya dalam menghadapi kepelbagaian sejagat kini apabila budaya luar mudah mempengaruhi amalan masyarakat tempatan dengan cepat.

 

Ahmad Zahid berharap penjenamaan semula ISTAC ini akan menjadikan Malaysia tempat pengajian Islam dan tamadun yang terulung di dunia, selain yakin institut itu akhirnya akan dapat membentuk persepsi bahawa agama tidak pernah menjadi penghalang kepada pembangunan dan kemajuan. – WD MY