GEORGETOWN,OKTOBER 20: PEMBINAAN.. Kerajaan negeri Pulau Pinang tiada cadangan untuk menghentikan projek pembangunan infrastruktur di kawasan cerun bukit, termasuk di projek Jalan Berkembar Bukit Kukus, yang dilanda tanah runtuh semalam.

Pihaknya juga tiada cadangan untuk mengkaji semua projek di kawasan cerun bukit.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembangunan perlu diteruskan dan pihak berkenaan berada di kawasan itu bagi membolehkan projek berkenaan selamat.

Beliau berkata, projek yang dijalankan di kawasan alam sekitar yang sensitif sudah tentu ada peraturan untuk mengawal projek sedemikian.

Katanya, terdapat undang-undang yang mencukupi untuk menguruskan pembangunan namun cabaran yang wujud ialah memantau dan apabila projek dilaksanakan.

“Jadi saya fikir, ketika kita mahukan pihak konsultan kita peka dengan isu keselamatan, di kawasan projek, pembangunan harus diteruskan.

“Pengkhususan juga perlu diberikan kepada langkah-langkah mengawal dan menyelia,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan menghentikan projek seperti yang didesak pelbagai pihak.

Chow berkata, dalam kes di Paya Terubong, kerajaan negeri akan memastikan projek itu hanya akan disambung semula selepas Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) memberikan lampu hijau.

Katanya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai pemilik projek sudah tentu akan memastikan pihak kontraktror untuk menambah baik langkah-langkah keselamatan di situ.

Chow berkata, kejadian pertama yang berlaku tahun lalu (tanah runtuh di Tanjung Bungah) adalah kejadian malang kerana ia boleh dielakkan kerana ia berpunca daripada kecuaian tempat kerja.

“Namun sudah tentu kemalangan kedua dapat dipantau jika jurutera berada di kawasan bagi menilai cerun dan memastikan kerja-kerja tebing cerun dilakukan berdasarkan standard,” katanya.

Sementara itu, Chow mengharapkan agar pihak DOSH membenarkan kerja mitigasi dan menstabilkan cerun dilakukan di situ walaupun kerja-kerja diarah agar dihentikan di situ.

“Ia bagi memastikan keadaan tidak bertambah buruk. Ia amat penting kerana walaupun kerja di situ diarah dihentikan, kerja mitigasi berkaitan keselamatan perlu dijalankan bagi membolehkan kawasan itu selamat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada jawatankuasa khas akan ditubuhkan berkaitan kejadian tanah runtuh terbaru itu, Chow berkata, berdasarkan keadaan di kawasan itu, ia adalah berpunca daripada cerun dan hujan, jadi jawatankuasa siasatan tidak perlu namun pihaknya akan berbincang mengenainya. Ia adalah satu proses yang panjang yang mana mungkin memakan masa setahun.

“Dalam kes ini, kontraktor dan jurutera bertanggungjawab mengeluarkan laporan kenapa kejadian ini berlaku,” katanya.

Setakat ini, tiga disahkan meninggal dunia selepas kejadian tanah runtuh di kawasan asrama pekerja jam 1.50 tengah hari semalam.

Polis juga mengesahkan bahawa dua wanita Indonesia sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Kejadian terbaru ini berlaku dua hari sebelum ulang tahun kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah pada 21 Oktober 2017.

Kejadian itu meragut 11 nyawa pekerja di situ termasuk seorang warga tempatan yang juga penyelia tapak.-MY WD