BAGAN DATUK, 28 Okt – PERHUBUNG…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan jambatan menghubungkan Bagan Datuk dan Kampung Sejagop di Perak Tengah akan memberikan manfaat kepada lebih 70,000 penduduk di tiga daerah iaitu Bagan Datuk, Perak Tengah dan Manjung.

Ahmad Zahid berkata, jambatan yang menelan kos sebanyak RM446 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun itu adalah terjemahan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan Bagan Datuk mampu menjadi daerah yang maju.

“Ia juga menterjemahkan perancangan kerajaan memajukan kawasan tertinggal dan pedalaman yang bukan hanya di Sabah dan Sarawak tetapi juga Bagan Datuk yang tidak terkecuali agak tertinggal dan terkebelakang ketika masih diletakkan di bawah daerah lain sebelum ini.

“Apabila Bagan Datuk menjadi daerah baharu yang juga daerah ke-12 dalam Perak, ertinya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) turut beri tumpuan kepada daerah baharu untuk dimajukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan dan melakukan kerja pecah tanah di tapak pembinaan jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, apabila siap jambatan itu kelak, ia akan menjadi jambatan ikon kepada Bagan Datuk dan diharapkan akan terus membawa kemajuan kepada daerah baharu berkenaan.

Katanya, pembinaan jambatan berkenaan sudah dimulakan sejak 3 Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 2 Julai 2020 yang mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan.

Jambatan akan memanfaatkan dengan memendekkan masa perjalanan sebanyak 45 minit berbanding sejam sebelum ini kepada hanya 15 minit selepas ia siap dan beroperasi.

Dari segi jarak perjalanan pula, ia menjimatkan perjalanan sejauh kira-kira 40 kilometer (km) perjalanan berbanding jarak asal perjalanan sejauh 50 km menjadikan jarak yang perlu dilalui hanya sejauh 10.2 km sahaja.

Jambatan yang merentasi Sungai Perak itu dibina sepanjang 1.5 km dan mempunyai kelebaran sepanjang lebar 14 meter yang mempunyai dua lorong dua hala. – WD MY