KUALA LUMPUR, MAC 21 – PEMBINAAN…Sebanyak 88,917 unit rumah mampu milik di bawah program Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) berjaya dibina sehingga Februari lalu, melepasi sasaran asal iaitu 80,000 unit menjelang tahun 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata jumlah unit itu yang melibatkan 124 projek di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, merangkumi projek di bawah kategori Siap, Dalam Pembinaan dan Kelulusan Perintah Pembangunan.

“Daripada jumlah projek itu, sebanyak 15 projek atau 8,824 unit telah siap dibina dan sedia untuk diduduki antaranya seperti di Residensi Pandan Mas, Residensi Sentul Mas, Suasana Lumayan dan Residensi Rampai.

“Walaupun telah melepasi sasaran unit, kami akan teruskan pembinaan (rumah mampu milik) jika ada permintaan daripada orang ramai,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit Rumawip Kondominium Kiara Kasih, semalam.