KUALA LUMPUR, 2 Jan – Tandus Idea….. Keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa semakin ketandusan isu dalam memaksa Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga terpaksa mengada-adakan pembohongan dan fitnah untuk mengelirukan rakyat.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tuduhan kononnya jemaah haji ditaja menerusi Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak mendapat haji mabrur adalah keterlaluan dan tidak berhati perut.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu adalah serangan berterusan terhadap 1MDB yang gagal dibuktikan.

Katanya, Dr Mahathir mahu meneruskan serangan terhadap 1MDB yang semakin dilupakan rakyat kerana tiada mahkamah membuktikan 1MDB melakukan penyelewengan seperti didakwa.

“Tuduhan bekas Perdana Menteri itu pastinya menyakiti hati mereka yang ke Tanah Suci atas tajaan Yayasan 1MDB.

“Beliau seolah-olah menuduh jemaah menggunakan wang haram untuk menunaikan ibadat haji. Tuduhan itu keterlaluan dan tidak berhati perut,” katanya, hari ini.

Dr Mahathir dalam ceramahnya di Taman Wira Mergong, Alor Setar, Kedah baru-baru ini menyifatkan ibadat haji menerusi tajaan Yayasan 1MDB tidak akan mendapat haji mabrur.

Sebelum ini, Dr Mahathir turut mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memanfaatkan jutaan rakyat sebagai rasuah dan haram diterima. – WD MY