ISTANBUL, 15 DIS – PAKAR….. Seorang pembunuh wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, kedengaran berkata ‘Saya tahu memotong’ dalam audio pembunuhan itu yang dikongsi Turki dengan pegawai Amerika Syarikat dan Eropah, kata Presiden Tayyip Erdogan hari ini.

Erdogan juga menyelar Riyadh kerana menukar keterangan mengenai bagaimana Khashoggi dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Kes berkenaan mencetuskan kemarahan global dan menjejaskan kedudukan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman di peringkat antarabangsa.

“Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Kanada, kami membiarkan mereka mendengar.

“Lelaki itu jelas berkata ‘saya tahu memotong’. Beliau seorang askar.

“Semuanya ada dalam rakaman audio,” kata Erdogan dalam ucapan di Istanbul.

Ketua pendakwa Istanbul berkata, Khashoggi dilemaskan pembunuhnya di konsulat sebelum mayatnya dikerat dan dibuang.

Mayatnya tidak ditemui sehingga kini.

Khashoggi dilaporkan berulang kali memberitahu pembunuhnya ‘Saya tidak dapat bernafas’ pada akhir hayatnya. — WD MY