SOCHI, 13 Mei – Tercabut….. Satu usaha untuk menunjukkan kehebatan peralatan tentera Russia memakan diri, semalam apabila pemegang pintu sebuah kenderaan tentera jatuh ketika Presiden Vladimir Putin memeriksa kenderaan itu.

Pemimpin Kremlin itu dibawa untuk melihat pelbagai kenderaan tentera yang diletakkan di luar kediamannya di selatan bandar peranginan Sochi termasuk trak pikap UAZ buatan Russia yang dilengkapi dengan mesingan berat.

Ketika Putin cuba membuka pintu tempat duduk hadapan, ia gagal dibuka, menurut seorang wartawan di lokasi.

Leftenan Jeneral Alexander Shevchenko, sebahagian daripada delegasi tentera yang menunjukkan peralatan itu datang membantu Putin, namun ketika beliau cuba membuka pintu, pemegangnya tercabut.

Putin berdehem ketika Shevchenko dengan pantas mencampak pemegang pintu itu menerusi satu tingkap yang terbuka. Pemimpin Russia itu kemudian bergerak untuk memeriksa kenderaan lain, tetapi beliau tidak cuba untuk masuk ke mana-mana kenderaan dipamerkan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY