PARIT BUNTAR, 25 Mac — TEGAS….. Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai pendirian tegas dan tidak terpengaruh dengan pengikut masing-masing yang akhirnya memberi kesan kepada parti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata tindakan pemimpin yang terikut dengan kata-kata penyokong dan bergaduh dengan pemimpin lain akan mengakibatkan rakyat menjadi keliru dan terikut-ikut.

“Pemimpin ada ketika (perlu) lembut ada toleransi, sesetengah kena keras juga. Kita nak selamatkan rakyat, kerusi untuk siapa bukan untuk kita tetapi parti (BN) dan kerajaan, jadi kita harus perkukuh kerajaan negeri yang ada di bawah pimpinan Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir)

“Kita hanya kurang 14 kerusi (Parlimen) untuk dapatkan dua pertiga (majoriti), kenapa kita kurang (kerusi Parlimen) kerana ada dikalangan pemimpin yang terpengaruh dengan pengikut yang perpecah belah yang akhirnya kita kecundang bukan kerana pembangkang kuat tetapi dalaman lemah,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program pemimpin bersama rakyat daerah Kerian di Dataran Kerian Permai di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar Datuk Abu Bakar Mat Ali, Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat.

 

Ahmad Zahid berkata pemimpin bukan hanya mendengar keluh resah rakyat, malah perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan rakuat mendapat bantuan yang diminta.

“Apabila pemimpin mendengar keluh resah rakyat, maka tindakan segera dilakukan kerajaan negeri dan kami (kerajaan) di Putrajaya juga mengambil tindakan atas permasalahan yang dibawa pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan penduduk Parit Buntar dan Bagan Serai supaya berterima kasih dengan segala bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan BN dengan terus memberi sokongan kepada parti itu supaya nasib mereka terus terbela.

“Apabila hari besar sudah sampai ketika itu kelawar-kelawar politik (pembangkang) keluar dan meracuni pemikiran kita, kita jadi terpengaruh kerana tidak berpuas hati.

“Saya harap orang Kerian (Parit Buntar, Bagan Serai) tidak salah memilih (wakil rakyat), mereka perlu memilih calon BN pada PRU14 kalau mahu kemajuan dan pembangunan di sini,” katanya. – WD MY