WASHINGTON DC, 10 Okt – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
menegur kalangan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) kerana menimbulkan provokasi yang
boleh menyebabkan khalayak meragui kewibawaan agensi penguatkuasaan melaksanakan
tanggungjawab berhubung soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas Ahmad Zahid, sebarang kenyataan bersifat provokasi tidak seharusnya dijadikan
sandaran untuk menggambarkan seolah-olah agensi penguatkuasaan tidak mengambil
tindakan segera bagi menyelesaikan penyiasatan dan melakukan pendakwaan lebih
awal.

“Ketulusan saranan daripada kenyataan Majlis Raja-Raja tidak sepatutnya
ditangguk dalam air keruh yang seharusnya dijernihkan agar terpancar keikhlasan
untuk menyelamatkan parti dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Ahmad Zahid, tindakan dendam dan memburukkan keadaan akhirnya menyumbang kepada
“menang sorak kampung tergadai”.

Beliau menjunjung kasih saranan Majlis Raja-Raja bukanlah dengan mengambil langkah
provokasi untuk mengajak khalayak meragui kredibiliti agensi yang berwibawa untuk
mengambil tindakan secara rasional mengikut proses perundangan.

“Sebagai pemimpin yang masih dihormati atas apa jua jawatan penting di dalam
parti, seharusnya tindakan yang diambil harus memperlihatkan usaha penyatuan
dalam situasi sukar yang sedang dihadapi oleh UMNO, BN dan kerajaan,” kata Ahmad
Zahid yang juga Naib Presiden UMNO.

Katanya jika benar tersemat hasrat sesetengah pihak untuk menyelamatkan
negara dan parti, tindakan berhemah hendaklah menjadi keutamaan agar ia tidak
diambil kesempatan oleh yang bersuara minoriti untuk mengambil alih kerajaan
secara tidak bermoral biarpun ia tidak menyalahi system perundangan.

“Selaku seorang pejuang parti UMNO yang setia, saya percaya semua
permasalahan pastinya mampu diatasi dengan istiqamah.

“Saya yakin Perdana Menteri dan kerajaan sedang lakukan usaha terbaik dalam
memastikan program rasionalisasi yang mendapat sokongan Jemaah Menteri dapat
diselesaikan dalam tempoh enam bulan seperti yang dipersetujui,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata situasi sebegini pernah dialami kepimpinan terdahulu,
dan atas kesatuan dokongan akhirnya permasalahan dapat didepani dengan
bijaksana.

Beliau meminta pemimpin parti kerajaan di semua peringkat supaya berlapang
dada dan berfikiran terbuka tanpa menanam rasa kebencian serta tidak “berkokok
berdegar-degar tetapi ekor bergelumang dengan najis”.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kepercayaan hendaklah
diberi kepada ketua-ketua jabatan berkaitan khasnya Pejabat Peguam Negara, Bank
Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) untuk menyediakan kertas siasatan dan kertas pendakwaan mengikut
kaedah perundangan yang ada.

“Sebarang tekanan atas sifat melayani sentimen dan menuding jari tidak
seharusnya menyandari sebarang saranan untuk tidak melengahi langkah perundangan
yang dilakukan,” katanya. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY