KUALA LUMPUR, 18 MAC – BIDAS… Peguam Latheefa Koya hari ini membidas pemimpin DAP dan mempersoalkan sama ada benar dakwaan terdapat pemimpin utama parti itu tidak menyokong penghapusan hukuman mati.

Dalam kenyataan di Twitter, Latheefa mengulang ciap laporan yang memetik kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang antara lain menegaskan bahawa partinya komited dengan isu hak asasi.

“Cakap senang! Hak asasi? Bukankah benar bahawa pemimpin utama DAP tidak menyokong penghapusan hukuman mati yang merupakan penafian paling besar hak asasi manusia?

“Akibatnya, kerajaan U-turn dalam membuat keputusan selepas berjanji untuk menghapuskannya pada Oktober 2018,” kata peguam itu.

Latheefa juga mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepang Dr Ko Shung Sen yang menafikan dakwaan yang menuduh DAP menarik balik bantahan terhadap hukuman mati.

“Tidak hairan (pendapat) dari Adun DAP yang menyokong hukuman gantung. Saya difahamkan pemimpin utama DAP tidak menyokong penghapusan itu, sehingga menyebabkan kerajaan buat U-turn.

“Mereka risau akan mendapat bantahan daripada pengundi Cina, yang sesetengahnya menyokong hukuman mari,” katanya dalam ciapan Twitter berasingan.

Semalam, Ko berkata kerajaan PH tidak memungkiri janji berhubung penghapusan hukuman mati kerana ia tidak pernah disenaraikan dalam manifesto, yang hanya menyatakan untuk berjanji menghapuskan hukuman mati mandatori.

Perubahan perundangan mempengaruhi 11 undang-undang dijangka diluluskan parlimen dalam masa terdekat.

Latheefa menggesa DAP menyatakan dengan jelas pendirian mereka berhubung isu itu dan tidak “bersembunyi” di sebalik keputusan kabinet.

“Jika DAP berpendapat dengan menggantung orang merupakan hukuman yang berkesan, maka mereka tidak mempunyai pendirian moral untuk membantah RUU hudud PAS, kerana PAS menggunakan pandangan yang sama,” katanya. – WD MY