PARIS, 8 Mei – Tahniah….. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengucapkan tahniah kepada Emmanuel Macron atas kejayaannya dalam pilihan raya presiden semalam.

Trump yang tidak pernah menyatakan sokongan kepada Macron mahupun Marine Le Pen, memuat naik tweet menerusi akaun Twitter rasminya.

“Tahniah kepada Emmanuel Macron kerana menang besar sebagai bakal Presiden Perancis. Saya amat berharap dapat bekerjasama dengan beliau!”.

Selain Trump, pemimpin dunia lain turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah ke atas kejayaan gemilang Macron itu.

Canselor Jerman, Angela Merkel menerusi jurucakapnya berkata: “Tahniah Emmanuel Macron. Kejayaan anda adalah untuk perpaduan dan keutuhan Eropah dan sebagai tanda persahabatan Perancis-Jerman.”

Jurucakap Downing Street, berkata Perdana Menteri Britain, Theresa May menyampaikan ucapan tahniah kepada Macron atas kejayaannya.

“Perancis adalah antara sekutu rapat kami dan kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan presiden baru dalam pelbagai bidang keutamaan yang lebih meluas.”

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mahu bekerjasama dengan Macron dalam agenda progresif untuk mempromosi keselamatan antarabangsa, meningkatkan kerjasama dalam sains dan teknologi dan mengadakan peluang pekerjaan berkualiti, kelas pertengahan bagi kedua-dua negara itu.

Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras berkata, kejayaan Macron adalah inspirasi buat Perancis dan Eropah, sambil menambah sedia menjalin kerjasama rapat.

Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy, berkata: “Tahniah kepada Emmanuel Macron, presiden baru Perancis. Marilah kita bekerjasama di Perancis dan Sepanyol untuk kestabilan, kemakmuran dan Eropah yang lebih berintegrasi”.

Calon Presiden AS yang tewas, Hillary Clinton yang mengalami nasib yang sama seperti Macron apabila kempennya digodam berkata: “Kejayaan untuk Macron, untuk Perancis, Kesatuan Eropah (EU) dan dunia. Kekalahan untuk mereka yang mengganggu-gugat demokrasi dunia. – WD MY