KENINGAU, 23 Ogos – Kesalingan antara kepimpinan bawahan dan atasan UMNO
penting dalam memastikan setiap pemimpin sedar akan tanggunggjawab
masing-masing, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pemimpin di setiap peringkat mempunyai peranan tertentu yang
diamanahkan dalam memastikan kemahuan dan permintaan rakyat dipenuhi.

“Mesti tahu kedudukan masing-masing. Perlu meletakkan diri di tempat
masing-masing agar tidak berlaku pergolakan.

“Kalau saya orang nombor dua (sebagai timbalan perdana menteri), saya juga
mesti tahu tugas saya sebagai orang nombor dua. Saya tak boleh menebuk kapal
(kerajaan) kerana saya mahu nakhoda (perdana menteri) saya belayar dengan
baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan serentak mesyuarat perwakilan UMNO
Bahagian Keningau dan Bahagian Pensiangan di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan pemimpin di
setiap peringkat bahawa jawatan bersifat sementara dan kesempatan yang diberikan
harus dilaksanakan dengan penuh bertanggunggjawab.

“Kita perlu ingat tanggungjawab kita sebagai ketua cawangan atau ketua
bahagian atau pemimpin tertinggi dalam parti terhadap rakyat akar umbi agar UMNO
terus beri khidmat kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid juga berikrar untuk menjadi jambatan dalam mencari penyelesaian
terhadap apa juga permasalahan yang dihadapi oleh UMNO Sabah.

Beliau berkata perbezaan pendapat dalam parti merupakan perkara biasa,
tetapi perlu diselesaikan agar tidak berpanjangan sehingga boleh menyebabkan
Sabah jatuh ke tangan pembangkang.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY