KUALA LUMPUR, 11 Jan – Takziah…… Saluran media sosial menjadi medium utama pemimpin merakamkan ucapan takziah sebagai mendapat berita kematian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut merakamkan takziah di Twitter menerusi akaun @TengkuAdnanReal.

“Salam takziah kepada ahli keluarga, sanak saudara dan rakyat Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem,” katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menerusi akaun Twitter @HishammuddinH20 menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh yang amat dihormatinya.

“Sad day for all, especially Sarawak (Hari menyedihkan buat semua terutama Sarawak). Kehilangan tokoh yg byk berjasa & amat sy hormati. Moga roh arwah ditempatkn di kalangan yg beriman,” katanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri, turut berkongsi kesedihan atas berita pemergian Ketua Menteri Sarawak itu.

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un.. Takziah atas pemergian YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem,” katanya menerusi akaun Twitter @ismailsabri60.

Akaun Twitter rasmi Barisan Nasional (@BarisanNasional) turut memuat naik ucapan takziah.

“Dengan penuh kesedihan dan dukacita dimaklumkan bahawa YAB CM Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem telah kembali ke Rahmatullah.”

Ucapan takziah turut dimuat naik Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa menerusi akaun Twitter @DrAliHamsa. – WD MY

“Takziah diucapkan kpd keluarga TS Adenan Satem. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan org yg soleh. Al Fatihah,” katanya.