LENGGONG, 30 Ogos – Pemimpin-pemimpin UMNO digesa supaya membantu memperjelas isu
tertentu kepada anggota akar umbi dan bukannya mengeruhkan keadaan dengan mewujudkan kekeliruan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ada kekeliruan yang sengaja ditimbulkan
dari dalam parti untuk memecah-belahkan sokongan anggota terhadap pemimpin tertinggi.

“Kita sebagai pemimpin perlu berperanan sebagai pemimpin. Jika sesuatu itu
kabur, kita perjelaskan. Kalau sesuatu itu menjadi kekeliruan, jangan tambah
kelirukan.

“Kita buat penjelasan, barulah organisasi itu baik dan parti kita,
organisasi kita, masyarakat kita akan menjadi lebih mantap,” katanya Ahmad Zahid.

Beliau berucap ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di Maktab
Rendah Sains MARA di sini.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merangkap Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Perak dan Ketua UMNO Bahagian Lenggong Datuk Shaarani Mohammad.

Tambah Naib Presiden Umn0 itu, selain musuh di luar, parti itu juga berdepan serangan segelintir musuh dalam parti.

Justeru itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk
memperbetulkannya dari dalam.

“Musuh di luar serang kita, kadang-kadang musuh di dalam pun tolong serang
lebih hebat daripada yang di luar. Permasalah kita bukan musuh di luar,
permasalahan kita musuh di dalam… kekeliruan sengaja diwujudkan untuk
memecahkan kita dari dalam,” katanya.

“Hakikatnya organisasi harus berjalan terus, parti harus berjalan terus,
pilihan raya akan kita hadapi. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY