MOSCOW, 24 Jun – HADIAH…. Penyokong Lionel Messi di Moscow mengetahui bintang itu akan menyambut ulang tahun kelahirannya semasa Piala Dunia, mereka merancang untuk memberi hadiah patung coklat yang bersaiz sama sepertinya.

Satu pasukan membabitkan lima pekerja di Altufyevo Confectionery bekerja hampir seminggu untuk mengukir patung coklat seberat 60 kg bagi meraikan ulang tahun kelahiran penyerang Argentina yang akan berusia 31 Ahad ini.

“Secara kebetulan kami mengetahui bahawa Messi akan menyambut ulang tahunnya pada 24 Jun ini,” kata ketua operasi Daria Malkina.

“Jadi mengapa tidak kami memberi Leo hadiah, sebuah patung coklat menyerupai dirinya?” kata Malkina yang memaklumkan sudah berhubung dengan wakil Messi bagi urusan penyerahan patung yang akan diletakkan di atas kek hari jadi.

“Kami akan memberikan Lionel Messi kepada Lionel Messi,” kata Malkina.

Patung itu juga akan turut dipamerkan di Bronnitsy, sebuah bandar yang terletak 50 kilometer dari Moscow, pangkalan latihan Argentina sepanjang pertandingan berlangsung.

Messi mungkin perlu meredakan tekanan selepas dikritik  kerana persembahan pada penampilan keempat di Piala Dunia selepas Argentina mungkin berdepan kejutan terkeluar daripada saingan di peringkat kumpulan kecuali keputusan baki perlawanan Kumpulan D memihak kepada mereka. РWD MY