BANGI, 12 Mei – MOJO yang tampil dengan single lagu terbarunya Dahsyat meraikan peminat-peminat mereka dengan cara santai dan menghiburkan. Majlis berkenaan diadakan di salah sebuah restoren di Bandar Baru Bangi.

Mendapat sambutan hangat lebih 200 orang yang hadir, antara objektif utama acara ini ialah bagi meraikan kedatangan Ryan (vokalis MOJO) semula ke ibu kota bagi bersama ahli MOJO yang lain untuk meneruskan beberapa kembara acara yang telah diuruskan oleh syarikat pengurusan, KRU Music. Selain itu, para peminat dan orang ramai juga boleh mengenali pembentukan baru kumpulan MOJO ini dengan lebih dekat dan secara santai.

Para peminat yang hadir telah didendangkan dengan dua buah lagu hit oleh MOJO, ‘Andai Ku Bercinta Lagi’ dan ‘Dahsyat’ secara akustik sebagai persembahan pembukaan.

Apa yang menarik dalam acara santai ‘Teh Tarik Bersama MOJO’ ini adalah kumpulan ini sendiri telah menjadi pelayan restoran dan mengambil pesanan dari orang ramai selama 30 minit.
Tutur sama artis bawah naungan KRU Music, kumpulan duo #tag juga telah membuat persembahan menyanyikan lagu ‘My Crush’ dan single terbaru mereka, ‘Hey Kamu’.

Selain dapat berhibur dan beramah mesra, para peminat yang datang diberikan berita baik apabila ketua kumpulan MOJO, Edry A. Halim mengumumkan bahawa para peminat yang hadir tidak perlu risau untuk mengeluarkan wang bagi pembayaran, kerana semuanya ditanggung beres!

‘Teh Tarik Bersama MOJO’ ini juga turut diceriakan oleh Suria FM: Menceriakan Duniamu di mana Suria FM Ford Wheelers telah bersama-sama memeriahkan acara ini sebagai hos dan memberi pelbagai hadiah menarik untuk peminat-peminat yang sporting dalam permainan yang diadakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Rizal Sahimy, “Semenjak kemenangan Anugerah Persembahan Terbaik bersama Caliph Buskers di AJL-29 yang lalu, nama MOJO telah menjadi bualan hangat orang ramai. Single mereka yang terbaru berjudul Dahsyat telah meraih jumlah tontonan sebanyak hampir 2 juta dalam hanya empat bulan yang menggambarkan betapa kasih sayang seorang ibu itu amat dihargai.”

” Sesi Teh Tarik ini diadakan khas buat para peminat dan menunjukkan betapa kami amat menghargai setiap sokongan mereka,” kata Rizal.

Sementara itu, MOJO bakal mengadakan beberapa rangkaian persembahan dan acara sepanjang bulan ini hinggalah bulan Ramadhan nanti. Antaranya, melawat rumah orang tua sempena Hari Ibu dan juga berbuka puasa dan berhibur bersama MOJO.

Selain itu, MOJO juga bakal mengeluarkan album terbaru mereka yang mengandungi 10 trek lagu termasuk single pertama mereka yang sedang dimainkan di radio. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY