KUALA LUMPUR, 11 April – LAPORAN POLIS… Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang membuat satu laporan polis susulan viral satu video seorang lelaki mencabut dan merosakkan bendera Barisan Nasional (BN) di ibu negara.

Ketuanya, Jefree Zain Affendi Dan Yunan, berkata video berdurasi 15 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan mencabut beberapa bendera BN yang dipasang di persimpangan Jalan Sultan Abdul Samad dan Jalan Tun Sambanthan 4, di sini.

“Saya menerima rakaman video berkenaan kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) melalui aplikasi WhatsApp dan mendapati video berkenaan sudah viral di media sosial.

“Kita tidak mahu kejadian sedemikian menimbulkan tindak balas yang tidak baik daripada mana-mana pihak, justeru kita mahu pihak polis menjalankan siasatan,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, malam tadi.

Katanya, bendera berkenaan dipasang oleh pihaknya di lokasi terbabit yang terletak di bawah Parlimen Bukit Bintang.

“Ini adalah satu tindakan khianat dan berbentuk provokasi, sama seperti yang berlaku dua hari lalu di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Kita kita tidak mahu perkara ini berulang dan adalah lebih baik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini kita dapat bertanding secara sihat,” kata beliau lagi.

Menerusi rakaman video berkenaan, kelihatan seorang lelaki berbaju gelap dan memakai topi besbol merentap tiga bendera BN daripada tiangnya dan membuangnya. – WD MY