KUALA LUMPUR, 9 Dis – CADANGAN….. Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan satu gerak kerja ditubuhkan bagi menangani permasalahan sosial yang membelenggu kalangan anak muda ketika ini.

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Razlan Muhammad Rafii, berkata anak muda berdepan dengan cabaran konvensional yang tiada kesudahan seperti kes buli, dera dan dadah serta pelbagai cabaran moden.

“Budaya ketagihan ‘skrin’ ini membawa kepada gaya hidup tidak aktif, masalah mental dan juga gemar menghentam. Ini menyebabkan institusi kekeluargaan semakin rapuh terutamanya di bandar.

“Mereka hanyut dalam arus dunia media baru dengan kewujudan aplikasi seperti WeChat, Bigo Live, Bee Talk dan pelbagai lagi.

“Keperluan menubuhkan satu gerak kerja bagi menguruskan permasalahan ini dalam memberi pendidikan secara tidak langsung dan seterusnya dibawa ke peringkat universiti,” katanya ketika menyampaikan perbahasan usul agama dan pendidikan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, hari ini.

Razlan juga berkata, gerak kerja terbabit perlu diketuai di peringkat tertinggi kepimpinan negara dan mempunyai kuasa eksekutif yang membolehkan kerjasama daripada pelbagai kementerian.

“Ia akan menjadi satu entiti yang dapat merangka dan konsolidasi bukan hanya di peringkat kementerian tetapi juga antara kerajaan pusat dan negeri serta semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan,” katanya. – WD MY