KUALA LUMPUR, JAN 17: CALON BAHARU… Pemuda UMNO sedia meletakkan calon muda muka baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan datang.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya sudah menggerakkan kumpulan penyelidik untuk mendapatkan maklum balas penduduk setempat.

“Kita akan kumpulkan maklum balas dan maklumat yang diperoleh untuk disampaikan kepada biro politik Barisan Nasional (BN).

“Kita buat bancian yang sama bagi PRK Cameron Highlands supaya sentimen rakyat dapat diperoleh, bukannya parti hanya ‘syok sendiri’, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kenyataan Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail, yang menyarankan UMNO menampilkan calon muda muka baharu untuk menghadapi PRK Semenyih.

Dalam perkembangan lain, Asyraf berkata Pemuda UMNO menawarkan peguam pemerhati bagi kes inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang akan berlangsung dalam masa terdekat.

Katanya, tawaran itu sudah dimaklumkan kepada keluarga arwah menerusi lawatan yang dibuat wakilnya baru-baru ini.

“Kita mendengar khabar angin ada unsur-unsur untuk menutup kes ini supaya tidak berpanjangan.

“Bukan hendak mengapi-apikan, tetapi kita mahu keadilan untuk arwah yang terkorban semasa membantu menjaga keamanan rakyat Malaysia,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.-MY WD