KUALA LUMPUR, JUN 1: PENCALONAN….Pendaftaran pencalonan untuk pemilihan UMNO bagi semua jawatan dalam parti ini, akan bermula hari ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pemilihan kali ini dilaksanakan melalui konsep terbuka tanpa perlu melalui pihak lain.

“Tak payah orang nak calonkan. Semua jawatan di peringkat tertinggi kita tawarkan diri kita sendiri.

“Begitu juga di peringkat Bahagian sebagaimana saya di bahagian Putrajaya, saya akan isi borang dan hantar kepada Sekretariat Pemilihan Bahagian. Ia akan disemak dan dihantar ke Ibu Pejabat untuk melihat kelayakan pencalonan.

“Di peringkat pusat pula, kita mempunyai jawatankuasa dan sekretariat pemilihan yang akan memproses borang dan meneliti calon yang menawarkan diri,” katanya menerusi satu kenyataan di UMNO Online, hari ini.

Menurut Tengku Adnan, terdapat tiga kaedah yang diguna pakai untuk pendaftaran pencalonan.

Pertama, pendaftaran dibuat secara atas talian bermula 1 Jun sehingga 17 Jun depan.

“Cara kedua, jika pendaftaran atas talian tidak berjaya mereka boleh membuat pendaftaran melalui Pejabat UMNO Bahagian.

“Selain itu, borang pendaftaran juga boleh dimuat turun dan dihantar ke Ibu Pejabat pada 17 Jun bermula 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Ibu pejabat UMNO akan mempamerkan senarai akhir pencalonan yang melepasi kelayakan bertanding.-MY WD