KUALA LUMPUR, 18 Okt – Mesin Pencetak…… Kekurangan bekalan buku Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) yang mula tersebar sejak pertengahan Jun lalu, berlaku kerana masalah penyesuaian penggunaan mesin cetak baharu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata masalah itu timbul semasa proses transisi daripada buku pasport lama kepada PMA.

“Dalam proses transisi itu, terdapat kelewatan dalam pengeluaran pasport kerana masalah penyesuaian penggunaan mesin cetak pasport yang baharu.

“Selain itu, pegawai Jabatan Imigresen Malaysia juga perlu membuat semakan terhadap kualiti setiap pasport sebelum ia dikeluarkan kepada orang awam.

“Kerajaan amat mementingkan kualiti pasport yang dikeluarkan dan tidak akan berkompromi dalam aspek berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan jawab lisan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang bertanya sebab kelewatan pengeluaran pasport oleh Jabatan Imigresen Malaysia.