KUALA LUMPUR, 11 April – Bilangan pendaftaran baharu anggota UMNO
mencatatkan jumlah luar biasa apabila sebanyak 3,000 orang menyertai parti itu
dalam tempoh seminggu pada penghujung Mac lalu kata Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurut Rauf pada kebiasaannya,
hanya sekitar 200 hingga 300 orang mendaftar sebagai anggota dalam tempoh
seminggu.
Menarik perhatian, beliau berkata kesemua yang mendaftar itu terdiri
golongan muda yang berusia bawah 30 tahun.
“Melalui kajian rawak yang kita lakukan, mereka menyatakan rasa sayang
terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta menyokong kepimpinan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai faktor menyertai parti ini,” katanya.
Ab Rauf ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan sambutan ulang
tahun ke-71 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Jelasnya, perkembangan itu menunjukkan kesedaran mula timbul dalam kalangan
anak muda untuk bersama UMNO yang telah berjasa membangunkan negara dan rakyat.
Katanya, setakat ini, UMNO telah mencatatkan keanggotaan sebanyak 3.5 juta
dengan 1.3 juta anggota pergerakan Wanita UMNO, 600,000 (Pemuda), 380,000
(Puteri) dan bakinya anggota biasa parti. – WD MY