KUALA LUMPUR, 28 FEB – TUDUHAN… EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo akan didakwa di Mahkamah Kajang pagi ini susulan insiden serangan ke atas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah dalam satu kenyataan, berkata Papagomo, 36, akan didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 509 kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala, hukuman bagi Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan pula, boleh dipenjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Papagomo sebelum ini ditahan dan direman selama tiga hari selepas Syed Saddiq membuat laporan mendakwa dicekak oleh individu terbabit dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada jam 10.45 pagi, 16 Februari lalu.

Pada 21 Februari lalu iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim juga pada 20 Februari lalu memaklumkan insiden membabitkan dua individu terbabit lebih kepada salah faham dan bukannya serangan.

Sementara itu, Papagomo menerusi status dimuat naik di akaun Twitter, @Sir_Azri reda dengan pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

Dia turut memaklumkan akan hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi bersama isteri dan rakan seperjuangan.

“Saya sentiasa pegang prinsip berani kerana benar dan tidak ada apa yang saya takutkan dengan tuduhan yang dikenakan kepada saya kerana kepada Allah SWT lah saya berserah akan perjalanan yang saya perlu hadap untuk hari-hari mendatang,” katanya. – WD MY