TENGKU ADNAN : BN GUNA PENDEKATAN ‘BOLEH MENANG’

0
524

PUTRAJAYA, 1 AprilĀ  – MENANG…… Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kaedah pengagihan kerusi menerusi pendekatan ‘boleh menang’ tanpa mengambil kira kerusi tradisi milik parti komponen dalam menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,

Tengku Adnan berkata perkara berkenaan dibincangkan bersama pucuk pimpinan bagi memastikan BN meraih kemenangan besar pada pilihan raya kali ini.

“Timbalan Perdana Menteri minta kita sedar iaitu, ada kaedah bagaimana mengatasi masalah berhubung penentuan calon di kerusi tradisi ini.

“Kita berbincang dengan mereka (parti komponen), kalau kerusi ini kamu boleh menang, kamu ambil dan jika kerusi ini tidak boleh menang, bagi balik kepada sesiapa yang boleh menang.

“Misalnya, jika MCA boleh menang (sesuatu kerusi itu), bagi kepada MCA. Jika UMNO boleh menang, bagi kepada UMNO dan jika Gerakan boleh menang, bagi kepada Gerakan begitu juga dengan Parti Progresif Penduduk (MyPPP),” katanya .

“Tiada masalah di antara parti komponen kerana kita merupakan gabungan yang akur pada konsensus. Apa yang kami buat adalah berdasarkan kepada konsensus, semua mesti bersetuju kerana itu adalah konsep kita,” katanya kepada media pada Majlis Penutup Karnival Kad Ceria hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas seruan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam agar parti komponen BN mengelak perbalahan dalam menentukan calon khususnya di kerusi-kerusi tradisi.

“Jangan kerana TPM cakap macam tu, anda membuat persepsi bahawa ada masalah di antara (parti) komponen. Tidak ada masalah malah kita berbincang dengan mereka, kalau kerusi itu parti kamu boleh menang kamu ambil, kalau tak boleh bagi balik kepada sesiapa (parti komponen lain) yang boleh menang,” katanya.

 

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan melancarkan penggunaan aplikasi Ceria 1WP pada Majlis Penutup Karnival Kad Ceria itu.

Katanya menerusi aplikasi tersebut orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai rakan dagang dan tawaran diskaun yang boleh diakses melalui telefon pintar.

“Sebanyak 10,086 rakan dagang bekerjasama dengan kementerian bagi menawarkan pelbagai diskaun menarik untuk pemegang kad ceria ini,” katanya.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Mac itu antara lain merupakan inisiatif kementerian dalam usaha menangani kos sara hidup dan membantu warga kota dalam merancang dan mengurus perbelanjaan harian secara berhemah. -MY WD