KUALA LUMPUR, 16 Mei – Peluang…… Faktor Pendidikan bertaraf antarabangsa dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi merupakan aspirasi popular golongan belia semasa dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Parlimen Setiawangsa.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin yang bertindak selaku moderator dialog itu, berkata aspirasi tersebut adalah antara lebih 30 aspirasi yang dikumpul daripada 500 belia termasuk kakitangan kerajaan, persatuan penduduk dan pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Setiawangsa.
“Belia di bandar ini mahukan silibus di peringkat universiti bertaraf antarabangsa seperti di Universiti Oxford dan seterusnya mampu mempersiapkan belia untuk memperoleh pekerjaan dengan mudah pada masa akan datang.

“Mereka juga mahukan pembiayaan pendidikan pada 2050 lebih mudah dan tidak membebankan pelajar untuk membayar semula pinjaman selepas tamat belajar,” katanya selepas dialong tersebut malam tadi.

Mas Ermieyati berkata mereka juga mahu pendapatan dalam masa 30 tahun lagi meningkat secara drastik dengan waktu kerja yang fleksibel, sesuai bagi mengimbangi tekanan kerja pada waktu itu.

Selain itu, belia juga mengimpikan peluang memiliki kediaman dengan harga mampu dimiliki pada usia seawal 20 tahun bagi kesejahteraan hidup terutama yang sudah berkeluarga, katanya.

Dialog TN50 peringkat Setiawangsa itu turut dihadiri dua panel jemputan iaitu Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Seri Abd Halim Abd Samad dan Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari. – WD MY