PONTIAN, APRIL 1: Pendidikan menjadi keutamaan kerajaan dalam membentuk generasi yang lebih baik pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata keberkesanan pendidikan mengubah masyarakat dalam satu generasi bukan satu omong kosong dan perkara itu berlaku di negara ini.

Beliau telah memberikan banyak contoh dimana pendidikan dapat mengubah kehidupan seseorang, misalnya anak daripada keluarga kurang berkemampuan mampu menjawat jawatan penting dan besar tidak kira dalam kerajaan mahupun syarikat korporat atau swasta.

“Anak petani membesar menjadi usahawan berjaya, anak penoreh getah menjawat jawatan Pegawai Daerah dan anak nelayan menjadi Menteri Besar, ini bukan perkara igauan atau omong kosong. Ia berlaku dalam negara kita.

“Sebab itu kerajaan beri penekanan khusus di negara ini dan segalanya hampir percuma bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah sehingga ke Institut Pengajian Tinggi atau Institut Kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NSTP pada majlis Pelancaran dan Penyerahan Tajaan Sisipan Pendidikan BH bagi sekolah dalam Parlimen Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Sebanyak 20 sekolah rendah dan menengah di Parlimen Pontian menerima tajaan sisipan pendidikan BH, manakala 37 lagi sekolah menerima nombor pin untuk menggunakan portal pendidikan FullAMArk.

Yang turut hadir, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Fauzan Mohd Hanafi.

“Ini berlaku dalam pentadbiran kerajaan BN, tetapi ia tidak berlaku dalam manifesto pembangkang. Sebab itu negara kita bertambah baik, pendapatannya semakin meningkat dan tidak lama lagi menjadi negara maju,” katanya.-MY WD