POLLOK, 15 APRIL – ANCAMAN… Beberapa taufan maut melanda selatan Amerika Syarikat, semalam, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya dua kanak-kanak, ketika ribut besar bergerak ke timur negara itu dengan membawa ancaman banjir terhadap penduduk dari New York hingga ke Atlanta.

Lebih 100 juta penduduk di tengah hingga pesisir timur AS berdepan ancaman cuaca ekstrim termasuk ribut petir dan banyak taufan, kata pakar metorologi Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Cuaca Nasional, Bob Ovarec.

“Banyak kawasan timur AS berdepan risiko cuaca teruk, hari ini, dan ia termasuk beberapa bandar utama,” kata Ovarec.

Hampir 2,000 penerbangan AS sama ada dibatalkan atau tertangguh kebanyakannya di beberapa lapangan terbang di Dallas, Charlote dan Chicago, menurut laman penjejak penerbangan FlightAware.com.

Salji turut melanda Chicago, semalam, dengan jumlah antara 2.54 hingga 7.62 sentimeter di tengah Illinois disebabkan suhu sejuk yg dibawa ribut. Sejumlah 17 taufan dilaporkan di selatan dari Texas ke Alabama, kelmarin dan semalam, kata Ovarec.

Dua adik beradik kanak-kanak masing-masing berusia tiga dan lapan tahun terbunuh apabila pokok tumbang atas kereta mereka di Pollok, Texas, kata jurucakap jabatan Sherif daerah Angelina.

Selain itu, ABC News melaporkan dua lagi kematian akibat taufan dilaporkan di Hamilton, Mississippi. Jurucakap pejabat Sherif daerah Monroe berkata, pihak berkuasa berada di Hamilton dan gagal dihubungi untuk pengesahan. – WD MY