BALING, 25 Okt – ROSAK….. Penduduk Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong berdepan detik cemas apabila sekumpulan gajah liar berkeliaran hingga merosakkan kebun dan dusun penduduk, sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Pari, Taib Man, berkata penduduk tidak berani ke kebun untuk mencari rezeki kerana bimbang terserempak dengan gajah liar itu yang berkeliaran sepanjang malam.

Katanya, haiwan itu juga semakin berani menghampiri rumah penduduk dan merosak tanaman seperti pisang, anak getah, nangka, tebu dan kelapa.

“Rata-rata penduduk bergantung hidup dengan mencari rezeki sebagai petani. Akibat takut dengan gajah, mereka terputus punca pendapatan.

“Kami sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) supaya dapat menghalau gajah liar berkenaan selain memasang pagar elektrik di kawasan yang menjadi laluan gajah,” katanya.

Seorang penduduk, Asri Yaacob,53, berkata gajah liar itu bergerak dalam satu kumpulan dengan menceroboh kebun penduduk dan memusnahkan banyak tanaman.

“Penduduk mengalami kerugian malah ada dikalangan petani tidak berani lagi ke kebun kerana bimbang perkara buruk,” katanya. – WD MY