SYDNEY: Ibu kota Australia, Canberra bakal menjadi bandar raya pertama di negara ini apabila membenarkan penduduknya memiliki, menggunakan dan menanam sejumlah kecil ganja selepas satu undian berlangsung hari ini.

Penggubal undang-undang di Wilayah Ibu Kota Australia (ACT) meluluskan rang undang-undang membenarkan individu berumur 18 tahun ke atas memiliki 50 gram ganja setiap seorang.

Selain itu, isi rumah dibenarkan menanam hanya empat pokok bagi tujuan kegunaan sendiri.

Rang undang-undang itu menjadikan ACT antara negeri pertama dalam enam negeri di Australia dan dua wilayah utama yang menghalalkan penggunaan ganja itu.

Undang-undang baharu itu akan berkuat kuasa pada 31 Januari 2020.

Ganja masih kekal sebagai bahan larangan di bawah undang-undang persekutuan Australia dan undang-undang baharu itu bertentangan dengan undang-undang dadah kebangsaan yang melarang pemilikan dadah terbabit.

Negara jiran, Zew Zealand akan mengadakan pungutan suara tahun depan untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan peribadi. – WD MY