Penduduk Islam Berbuka Puasa Di Luar Menara Trump Tanda Protes

0
75

NEW YORK, 3 Jun – Bantah….. Hampir 100 penduduk Islam New York berbuka puasa di luar Menara Trump sebagai membantah apa yang disifatkan sebagai retorik Islamofobia oleh Presiden Donald Trump.

Majlis pada petang kelmarin itu dianjurkan kumpulan penyokong pendatang. Ia turut dihadiri penduduk bukan Islam bagi menyatakan sokongan mereka.

Peserta duduk di tepi jalan selepas solat dan berkongsi makanan termasuk nasi, ayam dan piza.

Polis memantau kumpulan itu seperti dilakukan dengan semua pergerakan berhampiran bangunan berkenaan.

Menara Trump di Manhattan adalah lokasi Trump Organization, ibu pejabat empayar perniagaan Trump. Wanita Pertama, Melania Trump menetap di situ bersama-sama anak bongsu mereka, Baron.

Seorang peserta, Fatoumata Waggeh, 26, rakyat Islam Amerika berketurunan Gambia, berkata beliau menyertai majlis itu bagi menolak retorik negatif yang disebarkan mengenai Islam dan menunjukkan solidariti.

Sementara aktivis persatuan pelarian Yahudi, Maggie Glass, pula berkata beliau berada di situ bagi menyokong jiran dan rakannya yang beragama Islam.

“Saya rasa ia adalah peluang untuk kami datang sebagai komuniti, menunjukkan kami bersatu,” katanya.

Penganjur acara itu, Linda Sarsour, berkata beliau berpuas hati dengan kehadiran. – WD MY