JELI, 1 Jan – Bersiap Sedia…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta penduduk di tiga negeri Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak membuat persiapan berikutan diramal dilanda tengkujuh mulai bulan ini hingga Mac.

Ahmad Zahid berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, akan memantau perkembangan itu secara rapi.

“Jika sebelum ini musim tengkujuh di Pantai Timur berlaku pada Disember seperti bah kuning 2014, kali ini lima negeri diramal berdepan musim tengkujuh antara Januari hingga Mac.

“Kita sudah mengarahkan persediaan rapi dilakukan,” katanya ketika melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, di sini, hari ini.

Selain Shahidan, yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yakob dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustapa.