KEDAH, FEB 21 – PENERIMA BANTUAN…Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, membidas tindakan pembangkang yang melabelkan setiap bantuan kerajaan sebagai dedak kerana rakyat bukannya binatang ternakan atau anak ayam.

Oleh itu,  beliau meminta pakatan harapan (PH) supaya menghentikan kenyataan sedemikian rupa kerana ia adalah penghinaan buat rakyat lapor Portal Berita Harian hari ini.

“Tak payahlah mahu samakan rakyat seolah-olah mereka ini binatang ternakan atau anak ayam yang kena bagi dedak.

“Jangan hina sampai begitu rupa. Hentikanlah penggunaan dedak itu kerana apa yang diberikan kerajaan adalah sebahagian dari tanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemimpin Bersama Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Parlimen Alor Setar semalam.

Ahmad Bashah berkata demikian bagi mengulas kenyataan pembangkang yang sering melebelkan bantuan kerajaan sebagai dedak.  Ini termasuklah pengumuman peruntukkan  baru-baru inioleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM1.3 bilion bagi lima projek infrastruktur di Langkawi.

Beliau turut menberitahu, pemimpin seharusnya memberi dan membantu rakyat terutamnya yang memerlukan bantuan kerana ini merupakan tanggungjawab pemimpin, malah bantuan ini sebenarnya telah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Justeru, beliau mempertikaikan tindakan pembangkang yang baru sekarang melabelkan setiap bantuan kerajaan sebagai dedak.

“(Pengerusi PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad pun pernah jadi Perdana Menteri dan memberi bantuan (kepada rakyat) tetapi tidak pula dulu ia dipanggil dedak.

“Sekarang ini baru nak kata dedak sedangkan apa yang diberi adalah keperluan rakyat, ” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan sebuah portal berita bahawa sokongan masyarakat Siam di Kedah kini beralih kepada PH, Ahmad Bashah menganggap ia hanyalah gimik untuk menarik perhatian rakyat dalam berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.

“Biasalah pembangkang kata begitu sebab nak yakinkan rakyat sebab ia hanyalah gimik nak tunjuk dekat orang ramai mereka kuat namun hakikatnya huru-hara.

“Namun mereka kena tahu rakyat bukannya bodoh dan mereka tidak akan tertipu untuk tempoh lima tahun lagi, ” katanya. – MY WD