KUALA LUMPUR, JAN 12: SANGSI…Meskipun mendapat jaminan daripada menteri bahawa keadaan kewangan Felda akan dipulihkan, namun peneroka masih bersikap berhati-hati.

Mereka memilih untuk tunggu dan lihat.

Sehari sebelum penamaan calon beberapa peneroka Felda Sungai Koyan yang ditemui Malaysiakini berkata jaminan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali itu masih terlalu awal untuk dinilai memandangkan Pakatan Harapan (PH) baru mentadbir negara selama lapan bulan.

Peneroka yang juga ibu tunggal Che Pon Abdul Samad berkata dia tidak meletakkan harapan yang tinggi dengan jaminan diberi Azmin itu.

Ditemui di Felda Sungai Koyan 2, Che Pon turut membandingkan hasil pendapatannya ketika era BN yang lebih lumayan berbanding selepas PH mengambil alih kerajaan pusat.

“Kalau ada, adalah. Sekarang kata-kata dia nak (percaya) 100 peratus tak boleh juga sebab dia pun baru juga (kerajaan baru, menteri baru). Tak boleh nak percaya sangat.

“PH baru lagi tak boleh nak nampak, (tapi) hidup masa BN tak susah, senanglah sikit.

“Sekarang ni bayar bil saja dapat RM700 saja. Dulu masa BN pernah sampai dapat RM4,000 hingga RM5,000 pada tahun 2010, 2011,” katanya yang mengenangkan ketika harga kelapa sawit yang memuncak pada waktu itu.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga kelapa sawit pada 10 Januari mencatatkan RM2,303 setan.

Che Pon, 70-an, berkata sekarang pendapatan bulanan daripada hasil ladangnya kira-kira RM1,400 sebulan, dan separuh dari jumlah tersebut dibahagikan kepada anak tirinya.

Semalam Azmin hadir di majlis ramah mesra dan Kenduri Sekampung bersama Komuniti Warga Felda di Sungai Koyan 2.

Dalam ucapannya anggota parlimen Gombak itu berkata kerajaan PH akan membentangkan kertas putih mengenai penyelesaian kewangan Felda di parlimen Mac ini.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR berkata kerajaan akan mencari segala pendekatan dan kaedah untuk bantu peneroka Felda supaya keadaan agensi itu kembali cemerlang.

“Kita sedang kaji semua pilihan dan kaedah sebab masalah yang diwarisi bukan masalah kecil tapi masalah amat rumit. Hutang Felda sahaja RM8 bilion.

“Sebab itu kita bukan saja nak bicarakan masalah kewangan Felda, kita juga mahu membentangkan kepada peneroka bagaimana pelan pemulihan Felda pada masa akan datang.

“Tak ada maknanya kita nak menyalahkan orang lain kalau kita asyik mengungkit masalah lama, kalau kita tidak mampu untuk membentangkan satu pelan pemulihan jangka panjang supaya Felda menjadi sebuah model yang terbaik,” katanya kepada kira-kira 200 orang peneroka yang hadir.

Memandangkan harga komoditi kelapa sawit yang kian merudum sejak akhir-akhir ini, Azmin berkata perhatian akan diberikan kepada anak-anak Felda.

Bagi Rohani Hashim pula dia terkenang bagaimana keadaan Felda semasa di bawah pentadbiran BN sebelum ia kehilangan kuasa pada 9 Mei tahun lalu.

Ibu tunggal berusia 70-an itu juga berharap supaya keadaan peneroka terjamin seperti BN masih berkuasa.

“Lepas (bekas pengerusi Felda) Isa Samad berhenti dan ganti Shahrir Samad (bekas pengerusi selepas Isa) baru OK.

“Masa Isa Samad memang susah. Makin teruk, orang memang tak suka, tak berkenan. Dia pegang (Felda) jatuh teruk,” katanya.

“Kalau betul (apa yang PH janjikan) tengoklah,” katanya yang menjangkakan ada sesi soal jawab di majlis dihadiri Azmin itu.

“Kalau tak seronok juga, macam BN dulu banyak kejayaan,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran untuk meningkatkan pengeluaran kelapa sawit daripada 18 tan sehektar kepada 20 tan sehektar tahun depan, Rohani berkata ia mustahil untuk dilaksanakan.

“Biasanya dapat dalam 10 tan hingga 11 tan sehektar. Paling tinggi pun 13 tan sehektar. Kadang-kadang kurang daripada tu,” katanya.

Menurut Azmin, secara keseluruhan ada seramai 851 peneroka di Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3.

Difahamkan peneroka di Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terdiri daripada bekas tentera.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Felda Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dan Timbalan Menteri Hal Ekonomi Radzi Jiddin.-MY WD