AMPANG JAYA, 11 SEPT – JUMPA…..Sebutir bom ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, petang semalam.

Bom jenis mortar berukuran 81 milimeter (mm) itu kemudian diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kira-kira jam 6.10 petang.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan mengenai penemuan bom terbabit.

“Ketika itu lelaki berkenaan sedang menyiapkan liang lahad untuk mengebumikan jenazah di tanah perkuburan terbabit sebelum memaklumkan penemuan bom itu kepada polis pada jam 2.25 petang.

“Beberapa anggota polis kemudian dihantar bagi menyiasat dan mendapati objek itu adalah mortar berukuran 81 mm.

“Unit Pemusnah Bom IPK Selangor dihantar ke lokasi untuk tindakan memusnahkan bom berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azmi berkata, pihaknya menutup kawasan itu buat sementara waktu atas faktor keselamatan sebelum bom diletupkan tanpa sebarang kejadian tidak diingini. – WD MY