ALOR SETAR, 10 Nov – Seramai 152 pengamal media dan ejen
pelancongan daripada 17 buah negara akan menyertai Sambutan Rumah Terbuka
Deepavali 2015 peringkat kebangsaan di Padang Awam Kulim, esok.

Program di bawah Mega Familiarisation Programme anjuran Tourism Malaysia
itu disertai peserta dari Australia, China, Korea, India, Indonesia dan Amerika
Syarikat untuk mempromosikan pakej pelancongan yang ditawarkan di Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi Antarabangsa) Datuk Azizan
Noordin berkata sempena sambutan rumah terbuka Deepavali esok, peserta turut
diberikan taklimat mengenai produk pelancongan di Kedah dan Perlis.

“Kita berharap peserta dapat merasai sendiri kemeriahan sambutan perayaan
Deepavali dengan harapan dapat memberi gambaran apa yang mampu Malaysia tawarkan
apabila mereka datang bercuti di sini,” katanya pada sidang media hari ini.

Kira-kira 50,000 masyarakat India dan kaum-kaum lain dijangka turut serta
dalam sambutan itu yang bakal disertai Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Exco Agama, Hal Ehwal Agama Masyarakat Siam, Kerja Raya,
Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata Kedah meminta
pelancong melihat apa yang Kedah dapat tawarkan kepada mereka.

“Seperti kita sedia maklum, pelancong yang datang ke Kedah akan tertumpu di
Langkawi sedangkan banyak produk-produk pelancongan yang lain disediakan di
tanah besar Kedah,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Kedah
2016 Discover Kedah selain berusaha menjadikan Gunung Jerai sebagai Geopark
kedua selepas Langkawi.

Kertas cadangan untuk menjadikan Gunung Jerai sebagai Geopark sedang dibuat
sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri dan berharap impian melihat gunung itu
muncul sebagai Geopark kedua negeri ini tercapai, katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY