PASIR MAS, 1 Feb – BUNUH…… Penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang pesara polis, minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Rozani Yahaya, 39, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Yusoff Abdullah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Ab Halim Che Yusoff, 69, di tepi rumah di Kampung Apa-Apa Bunut Susu, Pasir Mas, jam 12 tengah hari, pada 25 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Idris dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pesara polis, Abdul Halim Yusof, 69, cedera parah di kepala selepas dipukul dengan objek keras oleh seorang lelaki di Kampung Apa-Apa.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari Khamis minggu lalu, mangsa sempat bergelut dengan suspek dan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Pasir Mas (HPM).

Kejadian dipercayai berpunca selepas mangsa menegur lelaki itu yang bertindak membaling atap bata, batu dan kayu ke arah rumah mangsa.

Ujian air kencing terhadap suspek mendapatinya positif dadah Methamphetamine. – WD MY