MELAKA, DISEMBER 20: PENGANGGUR…. Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang remaja perempuan berumur 13 tahun, pada dua minggu lalu.

Hakim, Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 19 tahun selepas beliau membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang hanya menganggur didapati telah merogol seorang remaja perempuan berumur 13 tahun kira-kira pukul 11 malam di sebuah pangsapuri di Tengkera di sini pada 9 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh ditangkap iaitu 10 Disember 2018. -MY WD