SINGAPURA, 20 SEPT – HADAPI….. Penganjur Grand Prix Singapura menambah bekalan topeng muka pakai buang untuk dijual kepada orang ramai, sebagai persediaan sekiranya tahap pencemaran udara terus mengancam acara sukan terbesar di bandar raya itu.

Pada masa sama, penganjur akan terus memantau kadar bacaan jerebu, menjelang bermulanya acara Formula Satu bernilai AS$100 juta (RM418 juta) itu, esok.

Beberapa hari lalu, pihak berkuasa Singapura mengeluarkan amaran bahawa tahap tidak sihat akibat jerebu, dijangka bertambah buruk dan menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar.

Ketika ini, Singapura dan sebahagian besar kawasan di Malaysia diselubungi dengan asap tebal, akibat pembakaran hutan di Indonesia.

Penganjur Grand Prix Singapura berkata, topeng muka pakai buang bagi menutup hidung dan mulut bagi mengelak pemakainya menyedut partikel jerebu di dalam udara, akan dijual di beberapa kedai barangan, jika kadar pencemaran mencecah tahap tertentu.

Katanya, topeng muka juga disediakan untuk golongan yang mudah terjejas seperti warga tua, kanak-kanak dan wanita mengandung di kaunter perubatan.

“Keadaan jerebu sentiasa berubah bukan sahaja setiap hari, tetapi juga setiap jam,” kata jurucakap Grand Prix Singapura.

Sementara itu, katanya, bacaan pencemaran udara dan nasihat kesihatan akan dipaparkan di laman web serta aplikasi mudah alih, selain disiarkan di skrin dan radio sepanjang tempoh tiga hari acara itu berlangsung. – WD MY