PUTRAJAYA, 18 Julai – Beri Keterangan……Pengarah Felda Investment Corporation (FIC), Datuk Nik Azman Mohamed Zain dan seorang wanita hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pagi ini, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC.

Kedua-dua mereka tiba di SPRM secara berasingan kira-kira jam 10 pagi. Semalam, lapan pegawai SPRM dilihat beredar dari Balai Felda, Jalan Gurney 1, Kuala Lumpur selepas hampir lapan jam melakukan siasatan di pejabat FIC.

Mereka beredar dari bangunan itu sekitar jam 5.45 petang dengan membawa bersama tiga kotak berwarna kuning dan dua beg bagasi dipercayai berisi dokumen berkaitan FIC yang juga sebuah anak syarikat FELDA.

Difahamkan, semua barangan itu akan dibawa ke pejabat SPRM untuk siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh FIC antara tahun 2013 dan 2015.

Pada 14 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel itu. -WD MY