CHRISTCHURCH, 16 MAC – MANGSA….Seorang datuk kepada sembilan cucu disahkan sebagai mangsa pertama pembunuhan dua masjid di New Zealand.

Daoud Nabi, 71 ditembak mati selepas melompat di hadapan jemaah lain bagi melindungi mereka daripada penyerang, kata anak lelakinya, Omar Nabi kepada berita temapatan.

Beliau adalah antara 49 mangsa yang terkorban dalam pembunuhan dilakukan pengganas berhaluan paling kanan di Christchurch ketika menunaikan solat Jumaat semalam.

Omar yang terpaksa meninggalkan solat Jumaat kerana tugas berkata, beliau bergegas ke masjid itu sebaik mendengar khabar buruk terbabit dan diberitahu, bapanya melompat di hadapan jemaah lain.

Beliau berkata, bapanya menghabiskan seluruh hidup untuk membantu pelarian yang baru datang ke New Zealand dan tidak hairanlah jika lelaki warga emas itu mengambil tindakan sedemikian.

“Beliau membantu semua pelarian selama ini. Sama ada anda dari Palestin, Iraq atau Syria, bapa saya adalah individu pertama yang tampil menghulurkan bantuan,” katanya.

Menurut Omar, bapanya adalah pengasas sebuah masjid di Christchurch dan turut dilantik sebagai presiden persatuan rakyat Afghanistan tempatan.

Katanya, keluarga mereka berhijrah ke New Zealand pada tahun 1980an apabila Soviet melanggar Afghanistan.

Rakyat Australia, Brenton Tarrant, 28 dituduh membunuh 49 orang di mahkamah hari ini.

Dia ditahan bersama dua suspek lain dan beberapa bahan letupan turut digunakan dalam apa yang disifatkan sebagai serangan terancang pengganas. – Agensi