PUTRAJAYA, 10 Mac – Tahan…. Pihak Polis menahan seorang pengawal keselamatan di Presint 3 di sini, awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang bayi di sebuah surau di Presint 9, malam kelmarin.

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata suspek ditahan pada jam 1.50 pagi, sebelum membawa polis ke kawasan berdekatan tempat kejadian.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Myvi yang disyaki digunakan untuk membawa bayi itu ke surau berkenaan.

“Pemeriksaan dalam kenderaan menemui sehelai baju sejuk kelabu yang diletakkan di kerusi penumpang hadapan, dipercayai dipakai suspek ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rabu lalu, satu mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui di sebuah surau di Presint 9 di sini.

Mayat bayi cukup sifat dan lengkap bertali pusat itu ditemui seorang penduduk atas rak kasut di luar surau berkenaan.

Mayat bayi terbabit ditemui dibalut dengan sehelai tuala dan jersi biru yang diletak dalam beg kitar semula berwarna biru.

Sementara itu, Rosly berkata, bedah siasat mendapati bayi berkenaan meninggal dunia ketika dilahirkan disebabkan pramatang.

“Ukuran panjang badan, ukur lilit kepala, dada dan berat menunjukkan bayi berkenaan pramatang, selain tidak ada tanda hidup kerana paru-parunya tidak kembang,” katanya. – WD MY