ISTANBUL, 15 Dis – TERKANDAS…..Pengawal pantai Turki cuba menyelamatkan puluhan pendatang yang terkandas di batuan di luar pantai barat negara itu apabila bot mereka yang dalam perjalanan ke Greece mengalami masalah.

Agensi berita Anadolu melaporkan, bot getah membawa 68 pendatang, tenggelam ketika berada di luar perairan Dikili di Laut Aegean.

Rakaman televisyen menunjukkan berpuluh pendatang terdampar di atas batuan sementara helikopter pengawal pantai melakukan operasi menyelamat.

Pada awal operasi, empat kanak-kanak berjaya diselamatkan sebelum diterbangkan ke pelabuhan Dikili. Status kerakyatan mereka bagaimanapun tidak jelas.

Pengawal pantai Turki menyelamatkan puluhan pendatang yang terkandas di luar perairan Dikili di Laut Aegean.

Lebih sejuta orang yang kebanyakan mereka lari daripada perang di Syria, menyeberangi ke Greece dari Turki pada 2015 selepas bermulanya krisis migrasi terburuk sejak Perang Dunia Kedua di Kesatuan Eropah (EU).

Turki memeterai perjanjian dengan EU pada 2016 bagi membendung kedatangan pelarian ke Eropah dan bersetuju menghantar pulang mereka yang mendarat di kepulauan Greek sebagai pertukaran kepada insentif termasuk bantuan kewangan.

Perjanjian itu yang mendapat tentangan kumpulan hak asasi manusia, berjaya membendung jumlah pendatang yang berhasrat menyeberangi Laut Aegean – WD MY