MANILA, 19 Julai – Cedera….. Seramai Empat pengawal peribadi Presiden Rodrigo Duterte cedera ditembak hari ini oleh komunis sehari selepas pemberontak memberi amaran mengenai serangan.

Pihak berkuasa berkata, Duterte tiada dalam konvoi itu apabila pemberontak melepaskan tembakan ke arah dua kenderaan Kumpulan Pengawal Presiden di sepanjang lebuh raya di Mindanao.

Komander Louie Dagoy berkata, mereka yang cedera dalam perjalanan ke satu lagi bandar raya di Mindanao apabila menempuh pusat pemeriksaan dikuasai gerila.

Pegawai tentera menyalahkan Tentera Rakyat Baru, sayap bersenjata Parti Komunis Filipina dengan kekuatan 4,000 anggota, di atas serang hendap itu.

“Ini adalah sebahagian desakan mereka supaya kumpulan bersenjata menentang undang-undang tentera dengan melancarkan serangan terhadap tentera kerajaan,” kata pegawai kanan tentera di Mindanao, Brigadier Jeneral Gilberto Gapay.

Serang hendap dilakukan sehari selepas Duterta memohon kebenaran Kongres meletakkan Mindanao dalam undang-undang tentera sehingga Disember ini untuk menewaskan militan Daesh yang memerangi pasukan keselamatan di Marawi.

Undang-undang tentera 60 hari itu sudah pun dilaksanakan di pulau itu selepas militan menyerang Marawi pada 23 Mei, tetapi Duterte, semalam mengaku memerlukan lebih banyak masa menewaskan mereka.

Parti Komunis, yang melancarkan pemberontak paling lama di Asia itu, menggesa sayap bersenjatanya semalam supaya melancarkan serangan sebagai reaksi kepada pelan melanjutkan pelaksanaan undang-undang tentera itu. – WD MY