BACHOK, 13 April – Dirempuh Pengedar Dadah……. Seorang pegawai penyiasat dari cawangan
narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok cedera selepas dirempuh motosikal
yang dipercayai ditunggang pengedar dadah dalam serbuan di Kampung Kolam di
sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Abdul Hamid Che Ahmad berkata dalam kejadian
kira-kira pukul 10.45 pagi itu, pegawai berkenaan Insp M Devandaran, 31, cedera
di bahu dan tangan kiri akibat rempuhan tersebut.

“Beliau bagaimanapun hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik
Kesihatan Bachok,” katanya pada sidang akhbar di IPD Bachok di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata ketika kejadian Devandaran mengetuai sepasukan anggota
polis membuat serbuan di kawasan tali air di kampung berkenaan selepas menerima
maklumat orang ramai.

“Ketika membuat pemeriksaan secara tiba-tiba sebuah motosikal yang dinaiki
seorang pengedar dadah cuba meloloskan diri dan terus merempuh Devandaran
walaupun telah disuruh berhenti.

“Bagaimanapun kita berjaya menahan suspek yang berumur 35 tahun dan menemui
tiga botol kecil berisi serbuk putih disyaki heroin dan satu paket plastik cerah
berisi 10 pil berwarna merah jambu disyaki methamphetamine bernilai RM5,500 di
dalam raga dan di bawah tempat duduk motosikal itu,” katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY